Jumaat, 14 Oktober 2011

Dugaan Bertimpa buat Warga emas ( keratan akhbar Sinar Harian edisi Terengganu )

Mak selepas 2 hari operation
keratan akhbar Sinar Harian Edisi Terengganu




KEBOR AYER – Hanya anak-anak mengetahui penderitaan warga emas, Lijah Ali, 71, selepas satu ditimpa satu musibah, ditambah pula satu masalah lain yang cukup berat untuk diterima.

Warga emas itu yang dijaga secara bergilir-gilir tiga anaknya memerlukan tambahan bantuan bagi membantunya mendapatkan kesihatan yang baik kerana kini terpaksa mengehadkan perbelanjaan akibat sumber kewangan yang tidak mencukupi.

Anaknya, Siah Long, 47, berkata, anak mana yang tidak mahu ibunya sihat walaupun mengetahui, sukar untuk perkara itu berlaku, tetapi sekurang-kurangnya dia dapat menjaga kebajikan ibunya yang hanya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 sebulan.

“Kami tiga beradik termasuk Zaimah, 38, dan Zaid, 34, menjaga ibu secara bergilir-gilir kerana masing-masing mempunyai komitmen lain, tetapi kami reda kerana hanya itu cara yang mampu kami buat untuk membalas jasa ibu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebor Ayer, di sini.

Dia yang sedikit kesal dengan sesetengah pihak bersikap menutup sebelah mata dengan nasib yang menimpa ibunya yang bergelar ibu tunggal itu.

Adiknya Zaimah pula berkata, ibunya yang selamat menjalani pembedahan membuang payudara kanan akibat penyakit barah pada 2007 kini bertarung dengan penyakit kanser tulang pula.

“Kanser tulang yang disahkan berada pada tahap empat ini menyerang tulang belakang leher dan sekali lagi terpaksa menjalani pembedahan bagi memasukkan besi bagi menampung kepalanya,” katanya yang begitu sedih melihat keadaan ibu yang sudah terlantar sejak empat bulan lalu setelah menjalani pembedahan kedua.

Sementara itu, Zaid yang kini tinggal sebumbung dengan ibunya, berkata, sebagai seorang yang sangat prihatin terhadap nasib ibu tersayang, dia tidak sanggup melihat wanita yang melahirkannya ke dunia itu dibiarkan tanpa mendapat rawatan secukupnya.

“Dulu ibu minum susu formula untuk menguatkan tulangnya, tetapi sekarang kerana kekurangan wang, terpaksa dihentikan buat sementara waktu untuk mengutamakan ubat-ubatan lain yang lebih penting.

“Berhubung kos pembedahan, ditampung sepenuhnya kami adik-beradik kerana kami tidak tahu macam mana untuk memohon bantuan daripada pihak berkenaan. Sebab itu kalau ada mana-mana pihak yang dapat menolong, kami sangat alu-alukan,” katanya.

Menurutnya, dia pernah memohon bantuan daripada pihak berwajib tetapi hingga sekarang masih belum mendapat sebarang respons yang membuatkan mereka bertambah runsing memikirkan segala kos yang perlu ditanggung.

Tiada ulasan: