Khamis, 12 April 2012
Teater "Selipar Jepun, Kasut Tumit Tinggi"
“Selipar Jepun, Kasut Tumit Tinggi” adalah sebuah pertemuan dua manusia kerdil dari generasi berbeza dalam bas ekspress Kota Bharu-Singapura. Menampilkan kisah-kisah suka dan duka dengan momen-momen penuh dramatik. Perjalanan yang menemukan watak-watak gigih ini membawa kita ke zaman Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu. Teater Kontemporari yang berinspirasikan Seni Persembahan Melayu Tradisi Mak Yong ini menggabungkan elemen monodrama, geraktari, teater fizikal dan muzikal dengan menampilkan lagu-lagu klasik dari tahun-tahun 1950an, 1960an dan 1970an. Teater yang menggunakan loghat bahasa Kelantan, seperti pengucapan dalam Mak Yong Warisan Dunia ini cuba menggali keindahan bahasa Melayu klasik yang semakin luput dari dunia seni persembahan moden.
Watak-watak dalam “Selipar Jepun, Kasut Tumit Tinggi”
Shukri Haji Ismail, seorang lelaki lemah lembut, umur menjelang 40 tahun, seorang Mak Andam di kampungnya. Pertama kali berkunjung ke Singapura dan bertemu dengan seorang ratu penghibur, seorang yang banyak menempuh dugaan sejak Perang Dunia Kedua, kematian orang tua dan bertukar nama dari Kam Ai Loh, ke Kamil dan kemudiannya Kamilah.
Che Aminah, wanita yang sudah berumur lebih separuh abad, pernah menjadi penari istana sebelum Perang Dunia Kedua, sebelum jatuh cinta dengan askar perisik Jepun dan kemudiannya menjadi penari kelab malam di Kota Bharu dan menjadi perempuan simpanan pegawai kolonial Inggeris. Kedua-dua lelaki dalam hidupnya tak hidup lama. Beliau kembali lagi ke Singapura mencari seseorang yang dikasihi.
ZAMZURIAH ZAHARI – AKTOR. Watak: Che Aminah
Zamzuriah Zahari merupakan seorang graduan Diploma Seni Tari dari ASWARA dan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Drama) dari Universiti Malaya. Beliau yang lebih dikenali sebagai penari dan koreografer ini, berasal dari Kelantan. Kini berkhidmat sebagai pensyarah sepenuh masa dalam Fakulti Tari ASWAR. Selain menguasai seni tari “Mak Yong” dan “Tari Inai Kelantan”, beliau juga menguasai seni persembahan “Mek Mulong”, sebuah lagi seni persembahan tradisonal. Beliau banyak pengalaman mempersembahkan beberapa repertoir “Mak Yong” - “Dewa Muda” (2001), “Dewa Indera Indera Dewa”(2003), “Raja Gondang” (2005), “Mak Yong Raja Gondang” (2007), “Anak Raja Gondang” (2008) and “Nik Kechik Dewa Muda” (2008). Menjadi koreografer untuk beberapa persembahan “Mek Mulung”, seperti “Dewa Kaca” (2009), “Malim Bongsu” (2010), “Cahaya Bulan” (2011). Beliau aktif di Aswara, Istana Budaya, Petronas Performing Arts Group dan jabatan-jabatan kerajaan. Beliau dianugerahkan Penari Bakat Muda, Seni Negara untuk pada tahun 2006. Zamzuriah aktif membuat persembahan dalam teater kontemporari tradisi seperti “Titis Sakti” (2009) di KLPAC, “Rebab Berbisik II”(2007), “Puteri Mak Yong”(2009), “Wad 301” (2010) dan “Mak Yong Punah” (2011). Zamzuriah pernah menjadi koreografer untuk program realiti pelakon “Pilih Kasih”. Terakhir beliau tampil sebagai Pelakon Terbaik dan Skrip Terbaik dalam Festival Monodrama DBP 2011.
ROSMAN ISHAK – AKTOR. Watak: Shukri Haji Ismail
Rosman Ishak pernah mengikuti Sijil Kreatif di USM(1994) sebelum menyelesaikan Diploma Teater di Akademi Seni Kebangsaan(1998) dan Sarjana Muda Seni Persembahan(Teater) di Universiti Malaya(2010). Beliau pernah berlakon di bawah arahan nama-nama besar seperti Krishen Jit, Joe Hasham, Khadijah Awang, Rahman B, Rohani Yusof, Ahmad Yatim, Hatta Azad Khan, Rosminah Tahir, Zahim Al Bakri dalam persembahan Mak Yong, Bangsawan dan teater kontemporari. Antara naskah-naskah teater terkenal yang pernah ditanganinya termasuklah “Intan Yang Tercanai”(Nordin Hassan). “Lantai T.Pinkie”(A.Samad Said), “Tempest”, “Hamlet”, “Oedipus”,“Mimpi Malam Panas” dan banyak lagi. Selain bidang lakonan, Rosman juga berjaya mempelbagaikan kepakarannya di dalam bidang teater seperti rekaan and pengurusan kostum, dan pengurusan pentas. Beliau banyak menjalankan kerja-kerja produksi untuk pementasan-pementasan teater Melayu. Kali terakhir beliau muncul sebagai pelakon adalah di dalam persembahan bangsawan “Alang Buana”(2011) arahan Mazlan Tahir di Panggung Dewan Bandaraya, terbitan Aswara dan jabatan Kebudayaan Negara. Rosman juga giat menjadi fasilitator bengkel lakonan dan vokal untuk Rumah Anak Seniman bersama Fauziah Ahmad Daud. Rosman merupakan pensyarah teras akademik di Aswara.
AHMAD FIRDAUS CHE YAHYA – AKTOR TARI: Pencerita
Ahmad Firdaus yang dilahirkan di Kemaman, Terengganu dikenal sebagai MakYong, mungkin kerana keserasiannya pada seni persembahan tradisional tersebut sewaktu mulai masuk belajar di Aswara. Graduan Diploma Seni Tari dari Aswara ini, sedang menyiapkan projek akhir ijazah sarjana mudanya di Aswara. Pada tahun 2009, beliau mengambil keputusan untuk belajar di Institut Kesenian Indonesia, Jogjakarta selama setahun. A.Firdaus banyak terlibat di dalam projek-projek Mak Yong, Mek Mulong, Bangsawan, teater kanak-kanak, filem pendek di Aswara. Beliau juga pernah muncul di dalam pementasan bersama Five Arts Centre, KLPAC serta Instant Café Theatre melalui teater “Air Con” sebagai pelakon. Sebagai koreografer beliau sudah tampil dalam program tv seperti “Mari Menari” dan “Sehati Berdansa” serta Konsert Alam Muzik M.Nasir pada tahun 2009. Firdaus juga pernah masuk bertanding di dalam tari kontemporari di Short + Sweet Dance Malaysia 2009 di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) 2009. Pendekata beliau telah membuka peluang untuk dirinya bukan hanya sebagai penari dan koreografer tetapi juga mulai berjinak-jinak dengan dunia lakonan. Terakhir beliau berlakon di dalam telefilem “Rompakan Kabinet”.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan